Suhaimi yang pernah mengadili perlawanan Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada 2011, 2013 dan 2015 berkata pengiktirafan tersebut memberi suntikan semangat kepada dirinya untuk terus menaikkan mutu pengadilan di Malaysia.
“Ini merupakan pengiktirafan terbaik dan bersejarah dalam hidup saya kerana saya sendiri tidak menyangka akan menerimanya. Saya bersyukur kerana usaha keras selama ini mendapat pengiktirafan.
“Impian untuk ke Piala Dunia (bola sepak padang) saya tidak berpeluang melakukannya kerana saya pengadil bola sepak pantai namun berbekalkan pengalaman ini saya mahu meningkatkan lagi mutu pengadilan dan belajar lebih mendalam.
“Saya berharap dapat terus bertugas dan memberikan aksi yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut dalam Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2017 di sini semalam.
Dalam pada itu, Pengadil Wanita Berpotensi dimenangi oleh Nurul Ain Izzaty Zainal dari Negeri Sembilan manakala Pengadil Lelaki Berpotensi disandang oleh Mohamad Faizudin Ismail (Perak).
Izzaty yang memulakan kariernya sebagai pengadil wanita seawal usia 14 tahun berkata walaupun pada mulanya dipaksa oleh ibu bapanya namun akhirnya dia mulai jatuh cinta dengan bola sepak.
“Saya bermula pada 2012 yang mana pada waktu itu ayah memaksa saya untuk menceburi bidang ini dan selepas mengadili dua perlawanan minat mula hadir dan saya tidak menoleh ke belakang lagi,” katanya.